All News

PANDEMIK COVID 19, BUKAN HALANGAN UNTUK UUM MELAKSANAKAN KONVENSYEN KIK TERBUKA UUM 2020

PANDEMIK COVID 19, BUKAN HALANGAN UNTUK UUM MELAKSANAKAN KONVENSYEN KIK TERBUKA UUM 2020

Tahun 2020 merupakan tahun yang sangat mencabar di mana dunia sedang dilanda pandemik Covid-19, namun Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Terbuka UUM 2020 Ke Arah Kelestarian UUM Norma Baharu Secara Online tetap diteruskan bagi menyediakan platform kepada kakitangan UUM untuk mengutarakan idea dan inovasi mereka dalam pertandingan konvensyen KIK ini.

Sebanyak 10 pasukan berentap merebut kejuaraan dalam Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Terbuka UUM Ke Arah Kelestarian UUM Norma Baharu Secara Online yang julung kalinya dianjurkan oleh Institut Pengurusan Kualiti (IPQ), baru-baru ini.

Pengarah IPQ, Prof. Dr. Sany Sanuri dalam ucapan aluan mengucapkan tahniah dan syabas kepada jabatan-jabatan di UUM yang menghantar penyertaan ke pertandingan Konvensyen KIK pada kali ini.

Menurutnya, KIK bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan kerana memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak untuk dapat menyiapkan dan menghantar projek-projek tersebut kepada urusetia pertandingan KIK.

Katanya, pandemik Covid-19 secara drastik telah mengubah corak kehidupan manusia diseluruh dunia dan ia memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia dan juga kepada perancangan IPQ dalam pelaksanaan Konvensyen KIK Terbuka UUM pada tahun ini.

“Walau bagaimanapun, kemajuan teknologi dan kemudahan akses internet masa kini menjadi pendorong kepada IPQ untuk terus komited sebagai tuan rumah KIK Terbuka UUM 2020.

“Pertandingan Konvensyen KIK secara atas talian ini memerlukan peserta untuk merekodkan video pertandingan mereka dan menghantar ke IPQ untuk dinilai terlebih dahulu oleh juri-juri Konvensyen KIK,” katanya.

Sesi Q&A Konvensyen KIK dijalankan menerusi aplikasi Webex bersama ahli kumpulan dan juri-juri KIK pada hari konvensyen tersebut.

Antara Pusat Tanggungjawab dan Pusat Pengajian yang mengambil bahagian dalam konvensyen KIK kali ini ialah Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan (JPP), Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Pusat Budaya dan Seni, Pusat Kokurikulum, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Pusat Pengajian Undang-undang (SOL), Pusat Sukan dan dua kumpulan dari Pusat Kesihatan Daerah Manjung, Perak.

Konvensyen KIK Terbuka UUM 2020 diakhiri dengan pengumuman pemenang anugerah melalui Facebook Live IPQ yang menyaksikan Pusat Kokurikulum merangkul gelaran juara, diikuti trmpat kedua Pusat Kesihatan Daerah Manjung dan CEDI di tempat ketiga.

Dua PTJ iaitu Pusat Kokurikulum dan CEDI akan mewakili UUM ke pertandingan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Universiti Awam.