All News

TAHUN KEDUA HORIZON BAHARU KIK DIPERKENALKAN DI UUM

TAHUN KEDUA HORIZON BAHARU KIK DIPERKENALKAN DI UUM

Tahun 2022 merupakan tahun kedua Institut Pengurusan Kualiti (IPQ) memperkenalkan Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) kepada semua warga kerja di UUM. Panduan Pembudayaan Dan Pemerkasaan Inovasi Dalam Sektor Awam Melalui Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) merupakan peralihan daripada Panduan Mengenai Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri Malaysia pada 1 November 2009.

Pada 22 dan 23 Mac 2022 yang lalu, IPQ telah menganjurkan Kursus Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) selama dua hari melalui webex yang melibatkan penyertaan seramai 68 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai Pusat Tanggungjawab dan Pusat Pengajian.

Kursus Horizon Baharu KIK tersebut telah dikendalikan oleh Dr. Haji Noorhisham bin Mohd Alwi dari Organizational Development Consultant. Dr. Noorhisham berkata, dalam Horizon Baharu KIK penggunaan Pemikiran Aras Tinggi sangat perlu dalam penciptaan inovasi bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan di UUM. Peserta Horizon Baharu KIK perlu berfikir secara kreatif dan inovatif dalam mencernakan idea-idea penambahbaikan penyelesaian isu-isu utama dalam peningkatan prestasi di UUM.

Turut dikongsikan semasa kursus adalah penggunaan kaedah Design Thinking dalam projek Horizon Baharu KIK. Diharapkan dengan adanya Kursus Horizon Baharu KIK tersebut, semua peserta mendapat lebih pendedahan dan pencerahan dalam penyediaan laporan dokumentasi projek Horizon Baharu KIK dan bersedia untuk pertandingan Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) yang akan diadakan pada bulan September 2022 akan datang.