All News

Webinar Beri Pendedahan Tentang Pensijilan Dan Aktiviti AUN-QA

Webinar Beri Pendedahan Tentang Pensijilan Dan Aktiviti AUN-QA

Institut Pengurusan Kualiti (IPQ) dengan kerjasama The Malaysian Higher Education Institution Quality Assurance Network (MyQAN) dan ASEAN University Network-Quality Assurance (AUN-QA) telah menganjurkan webinar bertajuk ‘AUN-QA: An Introduction on Potentials and Prospects’, baru-baru ini.

Pengarah IPQ, Prof. Madya Dr. Mohd Haniff Jedin berkata, objektif webinar adalah untuk memberi pendedahan tentang program pensijilan AUN-QA di peringkat program akademik dan juga institusi serta aktiviti yang dijalankan oleh AUN-QA.

Menurutnya, sesi webinar itu telah memberi banyak informasi dan kelebihan mengenai ASEAN University Network-Quality Assurance yang dapat dikongsi bersama ahli-ahli MyQAN di Malaysia.

Katanya, penganjuran program seterusnya adalah pada Julai 2022 bagi sesi perkongsian pensijilan peringkat program akademik oleh UUM dan juga pensijilan peringkat institusi oleh Universiti Malaya (UM).

Sesi perkongsian tersebut telah disampaikan oleh Prof. Ir. Dr. Shahrir Abdullah, wakil dari AUN-QA.

Menurut Prof. Ir. Dr. Shahril, progam Penilaian AUN-QA ini bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan sistem jaminan kualiti sama ada di peringkat institusi ataupun di peringkat program akademik yang diuruskan oleh institusi pengajian tinggi di rantau ASEAN.

“Sebanyak 535 program akademik telah dinilai secara bersemuka, manakala 825 telah dinilai secara atas talian bermula September 2020 sehingga April 2022 bagi pensijilan AUN-QA peringkat program akademik di 7 buah negara ASEAN yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Prof. Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari wakil dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) telah menyampaikan ucapan pembukaan bagi sesi webinar tersebut.

Turut serta, Presiden MyQAN, Prof. Dr. Irfan Naufal Umar bersama-sama 60 peserta terdiri daripada ahli MyQAN, staf akademik institusi awam dan swasta serta pelajar yang menyertai webinar tersebut.