All News

BENGKEL SEBAGAI PERSEDIAAN SEBELUM KONVENSYEN HORIZON BAHARU KIK

BENGKEL SEBAGAI PERSEDIAAN SEBELUM KONVENSYEN HORIZON BAHARU KIK

Seiring dengan perkembangan teknologi dan corak pembangunan negara yang semakin pesat, kerajaan memutuskan untuk menambah baik pengurusan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) agar pelaksanaannya memenuhi konsep Cepat, Tepat, Integriti – Produktiviti, Kreativiti dan Inovasi (CTI–PCI) serta menyokong prinsip Inovasi Nilai (Value Innovation) dan konsep Merakyatkan Perkhidmatan Awam (MPA).

Sehubungan itu, Panduan Pembudayaan dan Pemerkasaan Inovasi dalam Sektor Awam Melalui Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif telah diperkenalkan pada tahun 2016 oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Di Universiti Utara Malaysia (UUM), pelaksanaan Bengkel Horizon Baharu KIK telah memasuki tahun kedua pada tahun ini yang diadakan secara bersemuka berbanding tahun lepas yang telah dilaksanakan secara maya berikutan pandemik Covid-19.

Bengkel selama dua hari bermula pada 17 dan 18 Mei lalu telah dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Logasvathi a/p Murugiah dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB).

Timbalan Pengarah, Institut Pengurusan Kualiti, Faizah Hashim berkata, bengkel itu adalah persediaan kepada semua kumpulan KIK dalam Konvensyen Horizon Baharu KIK yang akan diadakan pada 26 dan 27 September nanti.

Menurutnya, bengkel yang disertai 20 kumpulan dari pelbagai pusat tanggungjawab (PTJ) dan pusat pengajian (PP) itu adalah untuk memberi pendedahan dalam penyediaan laporan dokumentasi projek KIK berdasarkan kepada kriteria Horizon Baharu KIK.

Katanya, dia berharap dengan adanya bengkel tersebut akan dapat memberi pendedahan tentang cara penyediaan laporan dokumentasi projek serta sebagai maklumat awal kepada semua peserta berkenaan peralihan KIK kepada Horizon Baharu KIK.

“Semoga langkah yang diambil oleh IPQ dapat membantu semua PTJ dan PP dalam melaksana dan memantapkan laporan dokumentasi projek KIK di jabatan masing-masing,” ujarnya.

Bengkel itu diakhiri dengan sesi pembentangan oleh setiap kumpulan KIK.