All News

WARGA KAMPUS DISERU SENTIASA LAKUKAN KEBAIKAN

WARGA KAMPUS DISERU SENTIASA LAKUKAN KEBAIKAN

Warga kampus perlu bersama-sama berganding bahu melakukan kebaikan demi membantu UUM memelihara kelestarian kampus sebagai tempat mencari rezeki dan anak-anak menimba ilmu.

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah dalam ucapannya mengajak warga kampus mencontohi suri teladan, Nabi Muhammad SAW, dengan melaksanakan sunah Baginda termasuk melakukan kebaikan.

“Nabi sentiasa berbuat baik walaupun pelbagai kezaliman dibuat kepada baginda terutamanya ketika berdakwah di Taif namun baginda membalas kejahatan dengan kebaikan yang akhirnya kini Islam tersebar luas di seluruh bumi Hijaz,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Audit Kampusku Lestari 2022 anjuran Institut Pengurusan Kualiti (IPQ).     

Menurutnya lagi, semua perlu sentiasa berdoa agar diberi keazaman untuk sentiasa berbuat kebaikan, seperti memastikan tempat bekerja sentiasa bersih dan gembira sebagai tanda bersyukur terhadap Allah.

“Tugas membersihkan kawasan universiti bukan tugas saya seorang, tetapi semua warga kampus, sebenarnya semua ini harta Allah dan milik Allah, kalau kita jaga amanah Allah tidakkah itu mulia di sisi-Nya?

“Jadi mari sama-sama berusaha untuk mengangkat universiti setingginya. Mungkin daya kita tidak seberapa tetapi kita tidak pernah berputus asa kerana kita tidak tahu berapa panjang usia kita,” ucapnya lagi di majlis yang berlangsung di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen, pagi tadi.

Jelasnya, inisiatif Program UUM Lestari yang bermula pada tahun 2021 bertujuan untuk memastikan prasarana yang sedia ada dapat digunakan dengan baik dan selesa oleh puluhan ribu pelajar dan ribuan staf.

Haim Hilman turut menyatakan keyakinan kampus hijau ini akan kekal lestari memandangkan usaha lebih agresif telah dilakukan sejak program Kampus Lestari dilancarkan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan (JPP). 

Sementara itu, Pengarah IPQ, Prof. Madya Dr. Mohd Haniff Jedin berkata, program julung kali diadakan di peringkat UUM ini menggabungkan elemen 5S dalam penilaian persekitaran bagi peningkatan persekitaran yang lebih ceria, selesa dan bersih.

“Pada hari ini, IPQ dan rakan-rakan juruaudit 5S akan bersama-sama meneruskan inisiatif ini untuk membuat tinjauan dan mengenal pasti elemen-elemen persekitaran di seluruh kampus UUM melalui 15 kawasan/ kluster yang telah ditetapkan.

“Kita akan memberi pengiktirafan dalam bentuk rating 5 bintang hingga 1 bintang kepada kawasan tersebut,” ujarnya.