All News

KELESTARIAN PENGURUSAN SUMBER ALAM BERSAMA PELAJAR KURSUS GREEN TECHNOLOGY POLIMAS

KELESTARIAN PENGURUSAN SUMBER ALAM BERSAMA PELAJAR KURSUS GREEN TECHNOLOGY POLIMAS

Generasi muda perlu menjadi barisan paling hadapan dalam memperjuangkan isu-isu dan kelestarian alam. IPQUUM telah bekerjasama dengan E-Idaman Sdn. Bhd bagi membantu komuniti dalam meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab dalam menguruskan sumber alam dalam penganjuran program ceramah bertajuk “Kelestarian Pengurusan Sumber Alam”.

Program yang melibatkan 120 orang pelajar Kursus Green Technology POLIMAS Jitra Kedah telah diberi pendedahan berkaitan pengurusan sisa pepejal serta isu-isu yang sedang berlaku. Lambakan sampah yang semakin tidak terkawal turut memberi kesan kapada cabaran global masa kini. Program telah diadakan pada 4 Oktober 2022 di Dewan Kuliah POLIMAS Jitra yang turut dihadiri oleh Prof. Madya Dr. Mohd Haniff Jedin,Pengarah IPQUUM.

Menurut Muhammad Mukhrizani Mahmud, Eksekutif Korporat E-Idaman, pengkelasan kepada bahan buangan yang boleh dikitar semula dapat membantu pengurusan alam dari tercemar. Selain itu, orang awam juga dapat menjana pendapatan dari bahan tersebut. Beliau juga memberi penerangan mengenai penggunaan semula bekas plastik yang sangat bahaya kepada pengguna.

Prof. Madya. Dr. Mohd Haniff Jedin dalam ucapan aluannya berkata, sebagai contoh, pelajar-pelajar boleh mengamalkan kempen kitar semula dalam mengurangkan pembuangan sisa pepejal seperti bahan plastik, kaca, kertas, tayar dan sebagainya sekaligus mengurangkan pelepasan gas amonia serta mewujudkan persekitaran yang selamat dan sihat. Menurutnya lagi negara sudah hampir berjaya dalam pembangunan ekonomi dan sedang bekerja keras untuk pembangunan sosial, tetapi masih belum memberikan perhatian serius dalam pembangunan alam sekitar. Walhal, alam sekitar ialah blok binaan terpenting bagi memastikan kelestarian ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

Program berakhir dengan sesi penyampaian cenderamata oleh Puan Naemah mewakili Ketua Jabatan Perdagangan POLIMAS kepada Pengarah IPQUUM dan penceramah E-Idaman Sdn. Bhd. Program turut dihadiri oleh Prof. Madya Dr. Mohd Haniff Jedin daripada IPQUUM dan para pensyarah Jabatan Perdagangan POLIMAS Jitra.