All News

KO-K HOLISTIK WAKIL UUM KE KONVENSYEN KIK UNIVERSITI AWAM KE-16

KO-K HOLISTIK WAKIL UUM KE KONVENSYEN KIK UNIVERSITI AWAM KE-16

Kumpulan KO-K HOLISTIK daripada Pusat Kokurikulum akan mewakili Universiti Utara Malaysia (UUM) ke Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Universiti Awam (UA) Ke-16 yang akan berlangsung pada 19 hingga 21 September ini secara maya menerusi Zoom yang mana Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sebagai hos.

Projek yang dipertandingkan oleh kumpulan KO-K HOLISTIK bertajuk Sistem Permohonan Aktiviti Kegiatan Luar Kuliah (KLK) Pelajar Kokurikulum atau SisKLK itu dipertandingkan di bawah kategori Pengurusan.

Kumpulan KO-K HOLISTIK terdiri daripada lapan ahli kumpulan dibimbing oleh pensyarah dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Prof. Madya Dr. Che Azlan Taib.

Menurut Che Azlan, projek SisKLK berpotensi untuk mendapat tempat pada konvensyen kali ini kerana ia memberi impak kepada pengurusan Pusat Ko-Kurikulum UUM dalam mempercepatkan tempoh masa permohonan dan kelulusan aktiviti KLK. 

Menurutnya, sistem tersebut juga telah memudahkan proses permohonan untuk dilengkapkan, disemak dan diluluskan walau di mana jua pelajar, staf dan pegawai yang terlibat berada dan pada bila-bila masa dalam tempoh yang ditetapkan. 

Pada tahun ini sebanyak 27 kumpulan kategori Pengurusan dan 19 kumpulan kategori Teknikal daripada pelbagai universiti awam akan menyertai konvensyen kali ini.

Sementara itu, Pengarah Institut Pengurusan Kualiti (IPQ), Prof. Madya Dr. Mohd. Haniff Jedin berharap agar kumpulan KO-K HOLISTIK sentiasa bersemangat dan berjaya mendapat tempat di pertandingan Konvensyen KIK UUM dan seterusnya menaikkan nama universiti ini.