All News

WEBINAR BERI PENDEDAHAN PROGRAM PENSIJILAN AUN-QA

WEBINAR BERI PENDEDAHAN PROGRAM PENSIJILAN AUN-QA

Institut Pengurusan Kualiti (IPQ) dengan kerjasama The Malaysian Higher Education Institution Quality Assurance Network (MyQAN) dan ASEAN University Network-Quality Assurance (AUN-QA) telah menganjurkan webinar bertajuk ‘MyQAN & AUN-QA Sharing Session’, baru-baru ini.

Pengarah IPQ, Prof. Madya Dr. Mohd Haniff Jedin berkata, objektif webinar adalah untuk memberi pendedahan tentang program pensijilan AUN-QA di peringkat program akademik dan juga institusi.

Menurutnya, sesi webinar itu telah memberi banyak informasi dan kelebihan mengenai ASEAN University Network-Quality Assurance yang dapat dikongsi bersama ahli-ahli MyQAN di Malaysia.

Sesi perkongsian Pensijilan AUN-QA Peringkat Institusi telah disampaikan oleh Prof. Dr. Kiran Kaur daripada Universiti Malaya (UM).

Menurut beliau, UM merupakan universiti pertama di Malaysia dijemput oleh pihak ASEAN University Network (AUN) untuk menjalani penilaian peringkat institusi bagi universiti ke-6 yang menerima Pensijilan Institusi di peringkat ASEAN pada 2018.

Sesi seterusnya iaitu sesi perkongsian Pensijilan AUN-QA Peringkat Program disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Zaki Ahmad daripada Pusat Pengajian Antarabangsa, UUM.

Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa telah melalui penilaian Pensijilan ASEAN University Network-Quality Assurance pada tahun 2013 dan pensijilan semula pada tahun 2018.

Turut serta, Prof. Dr. Suzeini Abdul Halim, AUN-QA Council Member bersama-sama 66 peserta terdiri daripada ahli MyQAN, staf akademik institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta pelajar telah menyertai webinar tersebut.