All News

Pasukan EKSA UUM timba ilmu di KPT dan JAKIM

Pasukan EKSA UUM timba ilmu di KPT dan JAKIM

PUTRAJAYA, 28 Mac – Jawatankuasa Pelaksana Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi (PPQA) dan wakil setiap Zon Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan Lawatan Penanda Aras EKSA ke Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Kualiti PPQA, Prof. Madya. Dr. Ku Maisarah Ku Bahador berkata, lawatan itu bertujuan untuk mendapatkan maklumat dan melihat contoh pelaksanaan EKSA yang telah dibuat di kedua-dua jabatan tersebut.

Menurutnya, inisitaif yang dilakukan itu adalah untuk menambahbaik pelaksanaan dan amalan EKSA di UUM.

“Penganjuran lawatan penanda aras ini telah membuka mata semua ahli delegasi dan sangat membantu dalam pelaksanaan EKSA di UUM.

“Semoga hasil dari lawatan penanda aras yang dijalankan ini dapat menambahbaik pelaksanaan EKSA di UUM, sekali gus mendapat pensijilan EKSA menjelang sukuan keempat tahun 2024,” katanya.

Sesi perkongsian ilmu EKSA telah disampaikan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT dan Penyelaras EKSA JAKIM.

Antara perkara yang dibincangkan adalah elemen-elemen EKSA yang perlu dititiberatkan dan kepentingan komitmen semua ahli jawatankuasa serta warga universiti dalam memastikan pelaksanaan EKSA di setiap zon akan dapat mencapai matlamat yang diinginkan.

Turut serta, Pengurus Pengurusan Kualiti dan EKSA PPQA, Dr. Nur Syazwani Mohd Nawi; Ketua Penolong Pendaftar Kanan (Jabatan Sumber Manusia), Faizah Hashim dan Timbalan Pengarah (Jabatan Komunikasi Korporat), Zulfadli Abdul Latif bersama 25 warga kerja EKSA UUM.